Pages

0 aktiviti minggu ini

Alhamdulillah, kita berjaya menghasilkan nota terkumpul untuk Sirah dan Tamadun Islam bagi Tingkatan 3 dan 5. Terima kasih kepada para pelajar yang memberi kerjasama 100% dalam kelas Pendidikan Islam. Hasil kerja anda semua akan dikongsi oleh rakan-rakan anda sendiri satu kelas.


Masing-masing mempunyai cara tersendiri untuk membuat nota bagi tajuk-tajuk yang telah dipelajari. Ada yang gemar menyalin semula ayat-ayat yang terdapat dalam buku teks atau buku rujukan, ada yang akan menyalin hanya isi-isi penting dan ada yang hanya membuat lakaran atau peta minda ringkas setelah selesai membaca sesuatu topik. Semua ini bergantung kepada kebolehan masing-masing menguasai apa yang telah dipelajari sebelum ini.
Apa yang cuba diterapkan dalam pembelajaran anda ialah pembelajaran secara aktif. Para pelajar akan diberi kebebasan untuk membuat nota bagi tajuk yang telah dipelajari. Semua ini akan dipantau dari semasa ke semasa. Para pelajar disarankan agar sentiasa mengadakan diskusi ilmiah tentang tajuk-tajuk yang sudah dipelajari supaya mendapat input tambahan di samping cuba menyelesaikan latihan ulang kaji bersama-sama.

Orang yang berfikir jauh ke hadapan akan sentiasa cuba melakukan sesuatu yang boleh mendatangkan manfaat pada dirinya kelak. Justeru, dengan masa yang terluang diharap para pelajar dapat mengisi masa dengan kegiatan-kegiatan yang berfaedah. Bagi yang mempunyai blog peribadi, silalah berhemah dalam penulisan anda. Walaupun anda bebas menulis apa sahaja yang terbuku di hati tetapi ingatlah setiap perbuatan anak Adam itu akan dinilai baik buruknya. Penulisan anda juga akan mencerminkan diri anda yang sebenar. Keberkatan dalam memperolehi ilmu tidak akan datang begitu sahaja sebaliknya perlu berusaha untuk mencarinya.

Datang dengan harapan,
Pulang dengan kejayaan.

0 comments:

Post a Comment

Click here...